Sunday, July 05, 2015

Riadah Ramadhan: Kala Bulan Mengambang, Bukit Kelubi Didaki

Lokasi: Bukit Kelubi, Jitra, Kedah Darul Aman

Tanggal 3 Julai 2015 - malam 17 Ramadhan. Purnama masih mengambang, bintang-bintang berkelipan. Walau hujan lebat dilewat petang, bumi tetap cerah disinari rambulan. Meneruskan Tradisi sejak 5 tahun yang lalu (Ramadhan di tahun 2000 @1431H) yang melambangkan ketaqwaan, kesabaran, keazaman, riadah dan kepedulian kepada keperluan bersosial. Kayuhan Riadah Ramadhan diatur oleh saudara Md. Nasron aka Lontruth yang merupakan antara manusia yang meneroka Bukit Kelubi dan bukit sekitarnya sebelum ini. ‘Keloi’nya melalui Facebook mendapat sambutan menggalakkan namun hujan lebat yang turun telah membataskan penyertaan. Namun 13 jantan istimewa yang hadir pasti mendapat satu kelainan dan keistimewaan dalam pendakian dan penurunan hari ini.

Usai Taraweh kami berhimpun di Restoran Anjung Kelubi (N6° 15.236’ E100° 26.904’). Menanti rakan-rakan berkumpul yang rata-rata adalah dari sekitar(Jitra & Alor Setar) dan  seorang dari Pulau Pinang. Jam 11.50 maka kami pun memulakan kayuhan selepas selesai bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Raja Azrifuddin Al Hafiz.

Kelubi

Perlahan-lahan kami mendaki secara jamaah. Hujan tadinya menambah kedinginan malam, namun peluh jantan tetap mengalir tandanya kelenjar Adrenal sedang berfungsi. Menghela nafas, santai mendaki sambil berbual sesama sendiri. Tidak perlu terburu mengejar waktu kerana tidak ada hadiah pada pendahulu. Lampu-lampu terpasang menyuluh laluan dibantu dengan sinaran rambulan. Ahh … hanya 2.6km merengkoh akhirnya sampai ke puncak yang setinggi 291 meter sahaja.

1

Hidangan yang disediakan

2

Dipuncak, saudara Musz selaku marshall sudah lama menunggu. Menjalan tugas dengan tekun. Tikar sudah siap terbentang, bihun sudahpun dihidang – hanya menanti rider pembawa cerek dan air. Kami dipuncak menikmati kepekatan Nescafe panas dan bihun. Sedang menikmati moreh tiba-tiba hujan turun, tegar kami dipuncak tidak bergenjak. Hujan sereyat jamuan disambung.

4

Sejam kami dipuncak dan akhirnya penurunan bermula. Disini kemahiran penunggang diuji, ke siap siagaan pada tahap maksimum dengan mata memberi tumpuan pada laluan. Lopak dan bonggol tidak jelas pada penglihatan namun berjaya diatasi dan Alhamdulillah semuanya selamat tiba belaka. Tiada yang cedera atau ditimpa malapetaka. Program berakhir pada hampir jam 3.00 pagi. Kepuasan memang dirasai ..INSYAALLAH dilain Ramadhan kita buat lagi.

No comments:

Post a Comment